Tumpuan :
Nasional

Motosikal disita: Penunggang p-hailing tular didakwa di mahkamah Disember depan

Tular kisah penunggang p-hailing terpaksa berjalan sambil memikul beg makanan selepas motosikalnya disita JPJ dalam operasi di Nilai. – Foto Ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Penunggang p-hailing yang tular kerana berjalan sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya akan dihadapkan ke mahkamah, Disember depan.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lelaki terbabit diperintahkan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 18 Disember.

“Motosikalnya boleh diambil semula selepas fail siasatan dilengkapkan dan cukai jalan serta insurans diperbaharui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Shahrul Shah, 26, mendapat perhatian selepas tular gambar dan videonya berjalan sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya dikatakan disita dalam satu sekatan jalan raya.

Beliau bagaimanapun mengakui kesalahannya dan anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran.

Terdahulu, Hanif Yusabra dalam kenyataannya memaklumkan cukai jalan motosikal ditunggang lelaki itu didapati sudah tamat tempoh sejak Februari lalu selain tiada insurans.

Beliau menjelaskan, tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.

Artikel berkaitan: Pelanggaran undang-undang tidak boleh dihalalkan – Aktivis

Loading...
Terkini