MUAR: Dua maut, termasuk seorang daripadanya putus kaki kanan, apabila motosikal ditunggang mereka terbabas di Kilometer (KM) 130.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang, penunggang motosikal itu yang juga lelaki tempatan berusia 28 tahun dan pembonceng wanita warga Singapura berumur 29 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.
Setiba di lokasi, beliau berkata, motosikal itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan terjatuh di lorong kanan, manakala pembonceng wanita tercampak ke laluan lebuh raya sebelah.”
Penunggang itu mengalami kecederaan parah di kepala, tangan serta badan. Pembonceng pula putus kaki kanan.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Raiz Mukhliz meminta orang ramai atau saksi kejadian agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.