comscore
Tumpuan :
Nasional

Motif bunga raya dipilih logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Majlis Pelancaran Logo dan Tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025 di Putrajaya. – FOTO: NSTP.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Motif bunga raya dipilih sebagai logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan stigma bunga tersebut mewakili konsep MADANI.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemilihan bunga itu sangat signifikan kerana terdapat banyak tumbuhan berkenaan di Asia Tenggara.

“Walaupun logo itu sudah diketahui ramai ketika Perdana Menteri menerima mandat semasa di Laos baru-baru ini, kita melancarkan logo rasmi hari ini.

“Mesej yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat, betapa keperluan untuk kita terus bersama dan jangan terpikat dengan usaha yang mahu memecahbelahkan kita. ASEAN adalah gabungan yang kuat dan perlu dipertahankan.

Pencipta logo, Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir ketika Majlis Pelancaran Logo dan Tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025 di Putrajaya. – FOTO: NSTP.

“Malaysia yang akan pengerusikan ASEAN tahun depan, ini tugas utama kita untuk pastikan supaya kesatuan ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 berasaskan kepada zon bebas, aman dan berkecuali serta dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan logo dan tema “Keterangkuman dan Kelestarian” bagi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra, di sini hari ini.

Logo tersebut direka oleh Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir menerusi pertandingan mencipta logo ASEAN yang diadakan pada awal tahun ini.

Menurut Mohamad, empat warna yang terdapat pada logo terbabit iaitu merah, kuning, putih dan biru merangkumi semua warna bendera 10 negara di dalam gabungan ASEAN.

Selain itu, enam stigma bunga raya pula mewakili enam nilai teras dalam konsep MADANI iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, pendekatan bernuansa dan praktikal ASEAN untuk menguruskan persaingan geopolitik di kalangan kuasa besar semakin dilihat sebagai contoh berharga bagi dunia membangun.

Jelasnya, tumpuan ASEAN terhadap berkecuali, dialog, dan kerjasama serantau telah menjadi kunci untuk memelihara kestabilan di Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan luar.

“Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan AS$696.7 bilion pada 2023, mencerminkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar kami sejak 2009. Pada masa yang sama, perdagangan dengan Amerika Syarikat berjumlah AS$395.9 bilion,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone.

Malaysia memegang Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini