Tumpuan :
Nasional

MOTAC teliti perketat syarat lesen pengendalian umrah

Foto hiasan

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang memperketat syarat lesen perniagaan pengendalian pelancongan ke luar negeri terutamanya aktiviti umrah dan ziarah bagi melindungi kepentingan jemaah.

Dalam satu kenyataan, MOTAC memaklumkan pihaknya sedang meneliti keperluan mewajibkan syarikat pengendali umrah untuk menyediakan jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

“Manakala untuk pengendali berskala besar pula, Jaminan Bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka. Ini adalah berdasarkan kepada keadaan di mana kes penipuan pengguna semakin serius dan sering berlaku.

“Sedia maklum, Jaminan Bank bagi syarikat-syarikat pengendali adalah termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482.

“Sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan minimum ini, MOTAC tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa sebarang kompromi,” tegas kenyataan tersebut.

MOTAC juga meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengendali yang masih gagal mematuhi undang-undang walaupun tindakan telah diambil terhadap mereka sebelum ini.

“Seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke MOTAC di Putrajaya untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan Umrah.

“Ini menunjukkan bahawa isu ini tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan.

MOTAC sebelum ini telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Pengendali Umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH).

“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi.

“Kami menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan demi menjaga kepentingan rakyat serta memastikan integriti dan kredibiliti industri Umrah di Malaysia kekal diyakini,” kata kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini