Tumpuan :
Nasional

MOTAC siasat dakwaan syarikat pelancongan berlesen gagal tepati tempahan umrah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah pada 14 Januari.

Dalam satu kenyataan MOTAC memaklumkan, syarikat itu telah disaran untuk menunaikan tempahan jemaah sedia ada yang telah membuat bayaran penuh dan mengikut jadual penerbangan yang telah dipersetujui, selain memulangkan wang kepada jemaah yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah terbabit.

“Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu.

“MOTAC menasihati mana-mana jemaah yang berkaitan dengan aduan itu boleh membuat laporan polis di balai polis berdekatan, selain membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Semua syarikat pelancongan yang terlibat disaran untuk jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan, khususnya menerusi tawaran pakej umrah.

“Isu-isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri, memandangkan MOTAC sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.

“Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,” tambah MOTAC.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melakukan sebarang pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini