PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal menetapkan sasaran baharu yang lebih tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menterinya, Tiong King Sing dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu diambil susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu yang disifatkan sebagai luar biasa.
“Jadi sudah tiba masanya sasaran TMM2026 dikaji semula kerana jika kita kekalkan angka 36 juta, ia menjadi sasaran lebih rendah berbanding pencapaian semasa.
“Sasaran baharu ini lebih realistik dan dapat memberi impak ekonomi besar kepada negara melalui sektor pelancongan.” katanya.
MOTAC turut mensasarkan sekurang-kurangnya RM150 bilion hasil daripada sektor pelancongan dengan fokus kepada usaha meningkatkan perbelanjaan per kapita pelancong asing.
“Sekarang kita berada pada tahap RM3,000 per kapita (setiap pelancong), tetapi kita sedang berusaha untuk meningkatkan nilai ini.
“Apabila pelancong membelanjakan lebih banyak, ekonomi tempatan akan menerima manfaat besar.” Menurutnya.
Pihaknya akan turut mengkaji data terkini bagi kekal relevan dengan trend global.
Ia juga memastikan produk eksklusif yang mampu menarik minat pelancong termasuk industri perhotelan, restoran mewah dan penganjur aktiviti premium yang harus bekerjasama untuk menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong.
Kementerian turut mempergiat usaha mempromosi industri rumah inap dan pelancongan luar bandar khususnya melalui platform digital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.