KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang membangunkan blueprint berkaitan dengan industri umrah yang mampu menyelesaikan masalah penipuan umrah di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, industri pelancongan di negara ini banyak ketinggalan dalam pelbagai aspek terutamanya berkaitan akta untuk mempertahankan pengendali atau jemaah.
“Kita akan lakukan langkah penambahbaikan dalam industri pelancongan, pertamanya kita akan lihat kembali akta dan kedua, pihak kita sedang membangunkan blueprint berkaitan umrah.
“Kedua-dua perkara ini sangat berkait rapat, contohnya berkaitan akta, banyak yang sebelum ini tidak lagi sesuai dengan industri dan teknologi sekarang.
“Oleh sebab itu, menteri setuju untuk kita bangunkan blueprint selari dengan akta yang mahu kita ubah. Kali ini kita akan lakukan libat urus dengan pihak industri kerana kita tidak mahu wujudkan akta yang syok sendiri tanpa mengikut keperluan pemain industri,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Malaysia Airlines bagi musim umrah 2023-2024.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai akta industri pelancongan atau Akta 482, Khairul Firdaus berkata ia diwujudkan sejak 1992 dan kini ‘usianya’ sudah mencecah 31 tahun.
Katanya, kebanyakan aktanya juga sudah lapuk serta tidak relevan lagi untuk digunakan kepada industri pelancongan.
“Kita akan pastikan akta ini diperbaharui dan dibina supaya ianya lebih mesra perniagaan selaras perkembangan teknologi semasa dan semestinya ianya inkusif dalam industri pelancongan.
“Secara umumnya, Akta 482 yang baharu nanti ia membolehkan tindakan segera diambil keatas pengendali umrah yang lakukan kesalahan.
“Ia bukan sahaja untuk menjaga pengendali umrah ini tetapi juga kemaslahatan jemaah. Sebelum ini kita lihat banyak cabaran berkait akta ini sehingga tindakan sukar untuk diambil kepada mana-mana agensi umrah yang lakukan kesalahan ini,” katanya.
Khairul Firdaus berkata, pihaknya juga akan melaksanakan penggredan pengendali agensi umrah ini untuk memberi pilihan kepada jemaah memilih mengikut gred yang mereka mahukan.
“Jadi ia akan lebih telus dan jemaah ini lebih terbuka untuk melihat mana-mana pengendali yang mempunyai prestasi tinggi dan tidak melakukan kesalahan dalam perkhidmatan mereka.
“Apa yang berlaku kini, banyak agensi ini tidak mampu untuk kekalkan gred perkhidmatan mereka yang sudah diberikan sebelum ini. Ia menjadi kerisauan kepada kementerian.
“Kita mahu lihat prestasi mereka, bukannya dapat penilaian lima bintang itu seumur hidup namun prestasi tidak sama dengan bintang mereka perolehi,” katanya.