comscore
Tumpuan :
Nasional

MOTAC cadang buka semua kaunter Imigresen di lapangan terbang antarabangsa

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta untuk membuka kesemua 40 kaunter Imigresen dan menambah laluan pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

Cadangan itu dikemukakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing demi menampung aliran tinggi kemasukan pelancong antarabangsa ke negara ini susulan pembukaan semula pintu sempadan di seluruh dunia.

“Saya berpendapat bahawa bilangan laluan pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa ditambah kepada enam berbanding empat ketika ini.

“Pada masa ini terdapat 40 kaunter tetapi hanya 20 kaunter yang dibuka. Saya turut meminta pertimbangan KDN untuk membuka kesemua 40 kaunter tersebut bagi memendekkan masa proses pemeriksaan Imigresen untuk jumlah penumpang yang ramai dan penerbangan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, empat saluran sedia ada tidak mencukupi untuk melengkapkan prosedur pelepasan Imigresen dengan kecekapan tinggi dan masa yang singkat.

Menurutnya, beberapa aduan diterima daripada penumpang berhubung proses pelepasan Imigresen yang mengambil masa lebih satu jam untuk diselesaikan.

“Isu kekerapan penerbangan masih belum pulih sepenuhnya, kini timbul pula isu kesesakan di kaunter pemeriksaan Imigresen. Bayangkan, jika jadual penerbangan kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat, pasti keadaan akan bertambah teruk.

“Tambahan pula, ada juga beberapa penumpang yang mengadu mereka terkandas di lapangan terbang selama tiga jam. Pada hemat saya, kaunter ini perlu ditambah untuk menambah baik perkhidmatan di pintu keluar masuk negara,” katanya.

King Sing berkata, antara punca isu itu adalah sistem sedia ada tidak dikemas kini mengikut masa yang ditetapkan dan ketinggalan zaman (outdated).

Justeru, penambahbaikan sistem dan proses berkenaan adalah satu keperluan mendesak.

“Dalam masa sama, saya juga menyeru kepada jabatan dan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari penyelesaian penambahbaikan dan berusaha untuk memendekkan masa ketika proses pemeriksaan ini.

“Kita harus sedar sektor pelancongan adalah kunci kepada pemulihan ekonomi negara dan lapangan terbang merupakan lokasi ‘first impression’ yang akan dilalui oleh pelancong apabila mereka tiba di negara ini.

“Bukan itu sahaja, perkhidmatan dan piawaian berkaitan, kebersihan tandas dan sebagainya turut sama perlu dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood bersetuju untuk menambah tiga bahasa lain pada sistem digital di lapangan terbang iaitu bahasa Cina, Melayu dan Inggeris.

Ujarnya, Datuk Iskandar Mizal turut mempertimbang dan memperhalusi untuk menambah terjemahan bahasa Arab dalam masa terdekat bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan lebih tepat dan difahami pelancong asing.

Loading...
Terkini