Tumpuan :
Nasional

MOT umum RM150 kadar kompaun khas libat kesalahan AWAS sehingga Jun

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kadar kompaun khas secara kadar rata RM150 bagi tiga notis saman membabitkan kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula 3 Januari sehingga 30 Jun depan.

Jelasnya, kadar rata itu memberi peluang kepada pengguna menyelesaikan lebih 2 juta notis saman AWAS yang masih tertunggak sejak 2018 sehingga kini.

“Kita sediakan kadar kompaun khas RM150 untuk tiga kesalahan, iaitu saman AWAS melibatkan kesalahan melebihi laju atau melanggar lampu isyarat.

“Kedua notis temu siasat dibawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Seksyen 115(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis saman tampal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ketiga-tiga notis ini kadar kompaun sebelum ini RM300, kita bagi kadar kompaun khas bermula 3 Januari selama 6 bulan untuk mereka selesaikan kompaun ini,” jelasnya.

Tambah Anthony, tiada pengumpulan mata demerit akan dikenakan terhadap pengguna yang menyelesaikan saman mereka.

Namun sekiranya gagal, pengguna akan disenarai hitam dan menyebabkan kesukaran mereka memperbaharui lesen memandu dan cukai kenderaan.

“Saman AWAS ada 2 juta saman tertunggak, memang ada sekatan kepada mereka tidak selesaikan saman.

“Kita beri kadar kompaun khas ini supaya mereka belum menyelesaikan dapat menyelesaikan kadar segera, sekiranya tidak menyelesaikan sama ada mereka tidak boleh perbaharui lesen memandu dan kenderaan.

“Tempoh bayaran bermula daripada esok sampai 30 Jun 2025. Untuk pembayaran orang awam perlu melalui kaunter JPJ, kiosk atau aplikasi MyJPJ. Dia tak boleh buat bayaran melalui MyEG dan pos tidak boleh,” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini