comscore
Tumpuan :
Nasional

MOT sahkan identiti lapan individu dalam pesawat terhempas

SUBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan berada dalam pesawat ringan yang terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, Shah Alam, petang tadi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, terdapat lapan individu yang menaiki pesawat terbabit termasuk dua juruterbang.

“Berdasarkan ‘manifest’ (senarai nama penumpang pesawat), dua krew pesawat iaitu juruterbang adalah Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

“Enam penumpang pula adalah Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Datuk Seri Johari Harun; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Anthony berkata, pengesahan identiti mangsa perlu disahkan melalui proses forensik yang akan diumumkan oleh pihak polis nanti.

“Bagi identiti dua orang awam yang terbabit dalam nahas itu, pengesahan identiti mereka juga akan disahkan oleh pihak polis melalui siasatan dilakukan,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di lokasi terbabit jam 2.40 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, semua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat.

Katanya, dua lagi mangsa adalah pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Menurutnya, pesawat peribadi itu berlepas dari Langkawi, Kedah dan dijangka mendarat di LTSAAS jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum waktu pendaratan.

Juruterbang

1. Shahrul Kamal Roslan
2. Heikal Aras Abdul Azim

Penumpang

1. Kharil Azwan Jamaludin
2. Shaharul Amir Omar
3. Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi
4. Datuk Seri Johari Harun
5. Muhammad Taufiq Mohd Zaki
6. Idris Abdol Talib @ Ramali

Loading...
Terkini