Oleh: Fareez Azman
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mencari jalan penyelesaian menangani isu perkhidmatan sewaan tayar kenderaan berat di negara ini.
Menurut Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, terdapat kelompongan undang-undang yang perlu dilihat semula melibatkan dua kementerian berkenaan.
“Memang kita tahu perkara ini, ada kelompongan undang-undang dimana apabila seseorang tukar tayar dia pergi PUSPAKOM dia lulus lah.
“Ini sama kes dahulu dalam kes cermin gelap, orang pakai cermin gelap tidak lulus (pemeriksaan) masuk PUSPAKOM jadi dia pergi kedai aksesori tukar cermin biasa kemudian bila lulus keluar balik dia tukar balik cermin gelap.
“Memang ada kelompongan undang-undang cermin gelap, tetapi kita telah tukar peraturan dengan kita benarkan cermin gelap di bahagian belakang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di sini hari ini.
Justeru itu, pendekatan baharu perlu diambil termasuk meminda peraturan sedia ada dalam mengekang kegiatan itu berlanjutan.
“Isu ini dia guna kelompongan sama kita, berbincang dengan KPDN kita akan ada pendekatan baharu untuk mengenal pasti tayar itu sama ada tayar itu sepatutnya berada dalam kenderaan ini.
“Ada cara baharu kita akan umumkan apabila kita buat pindaan peraturan,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut ujar Anthony, ketika ini peruntukan undang-undang sedia ada tidak boleh menahan mahupun mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan sewa komponen kenderaan termasuk tayar.
“Kita tidak boleh pergi kedai itu tak boleh ambil tindakan apa-apa sekarang sebab dia kata dia juga bisnes untuk sewa tayar.
“Setakat ini belum ada apa-apa undang-undang untuk kita ambil tindakan, jadi ada kelompongan. Tapi kita cara kita untuk mengatasi perkara ini,” ujarnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.