PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes meluluskan kenderaan tidak selamat melibatkan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) baru-baru ini.
Menurut Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, perbincangan telah diadakan kedua-dua pihak bagi siasatan lanjut yang akan dijalankan.
“Pegawai PUSPAKOM telah datang temu siasat, kita sedang menyediakan pemeriksaan lanjut dan kita hari ini telah berbincang dengan SPRM.
“Memang kita akan bekerjsama dengan SPRM untuk mengenal pasti isu intergriti dalam PUSPAKOM,” jelasnya.
Tambah Anthony, sekiranya wujud salah guna kuasa mahupun isu intergriti, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kita tidak akan teragak-agak ambil tindakan bersama SPRM, kita nak kenal pasti kes-kes terpencil.
“Lebih penting ada sindiket-sindiket membawa perkhidmatan tidak sah dan memang kita tahu ramai yang cakap ada ‘runner’, kartel dan sebagainya supaya mereka tak lulus boleh luluskan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di sini hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan tiga kakitangan PUSPAKOM hadir memberi keterangan di Ibu pejabat JPJ Putrajaya bagi membantu siasatan susulan kes sebuah kenderaan yang lulus pemeriksaan Op Mengejut Puspakom meskipun kenderaan berkenaan tidak selamat di Wangsa Maju Isnin lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.