Georgetown: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang bekerjasama dengan dua kementerian bagi mencari kaedah meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kerjasama itu membabitkan kementeriannya dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Katanya, ketika ini sudah ada satu jawatankuasa bersama bagi mencari penyelesaian minat dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Kita sudah tubuhkan jawatankuasa di peringkat kerja dan selepas ini akan ada jawatankuasa peringkat menteri dan kita yakin dapat menyelesaikannya.
“Paling penting ialah program dan inisiatif ini berjalan baik dan mencapai matlamat,” katanya ketika ditemui di Astaka Padang Tembak di sini, hari ini bersama Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kebun Bunga Lee Boon Heng dari Pakatan Harapan (PH).
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KPM serta MOSTI perlu mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
Ia susulan kajian terbaharu oleh KPM yang mendapati minat pelajar terhadap kedua-dua mata pelajaran itu menurun.