comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Moreh @ PJ Love You’ elak bazir juadah tidak terjual

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir

Oleh Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: Lambakan makanan yang tidak habis dijual di bazar Ramadan, kini dimanfaatkan kepada pihak masjid dan mereka yang memerlukan.

Inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi program ‘Moreh @ PJ Love You’ bagi mengelakkan pembuangan sisa makanan khususnya ketika bulan puasa.

Program khas yang julung kali diadakan itu juga atas usahasama usahawan-usahawan mikro yang menyumbang makanan.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir, program itu juga merupakan tanda kasih sayang kepada penduduk kawasan Petaling Jaya sekaligus berkongsi rezeki bersama mereka.

Bagi peringkat permulaan, program ini mendapat kerjasama lima masjid sekitar.

Antaranya, Masjid Jumhuriah, Taman Medan; Masjid Muttadi, Damansara Damai; Surau Ar-Rasyidin dan Surau Al-Islah, Taman Sri Manja.

Bagi penduduk, program itu ‘bagai pucuk dicita ulam mendatang’, kerana ianya sedikit sebanyak membantu meringankan beban masjid dan surau menyediakan moreh.

“Pertama kali saya rasa majlis bandaraya buat seperti ini, tak pernah lagi anjur program seperti ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak MBPJ kerana prihatin dan ternyata program ini mampu merapatkan ukhuwah antara pihak majlis, komuniti masjid dan juga penduduk,” ujar Hamzah Harip selaku Biro Pembangunan Masjid As-Salam yang ditemui semasa penyampaian bantuan itu di Bazar Ramadan Taman Sri Manja semalam.

Acara turut selaras dengan tema MBPJ iaitu ‘Smart and Green Bazar Ramadan’ yang menggalakkan fungsi tanpa tunai dan penggunaan plastik jenis bio-degradasi di semua lokasi bazar.

Loading...
Terkini