Tumpuan :
Nasional

Monsun Timur Laut: Bekalan sayuran berkurangan 35 peratus, harga naik

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Bekalan sayuran di beberapa negeri di Semenanjung terjejas hampir 35 peratus berikutan hujan lebat Monsun Timur Laut yang mula melanda di kebanyakan ladang sayur, sejak awal November lalu.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, musim hujan lebat yang berlaku menyebabkan pengeluaran hasil sayuran terutama berdaun terjejas.

Fenomena itu menyebabkan bekalan beberapa jenis sayuran berkurangan sekaligus berlaku kenaikan harga bahan mentah itu antara 10 hingga 30 peratus ketika ini berikutan kawasan ladang sayuran terutama di Johor, Pahang dan Perak dilanda hujan lebat.

“Kita jangkakan bekalan sayur akan lebih terjejas apabila banjir yang dijangka berlaku hujung Disember hingga Januari depan, melanda nanti.

“Bekalan sayuran yang kurang menyebabkan beberapa jenis sayur naik harga termasuk kacang panjang yang naik kepada RM7/kg. Minggu lalu, harga kacang panjang hanya RM6/kg sekilogram manakala sebelum musim hujan pula hanya sekitar RM4.50/kg.

“Harga sayuran berdaun turut naik sedikit terutama bayam naik kepada RM7/kg berbanding hanya antara RM6 hingga RM6.50 minggu lalu. Sawi turut merekodkan kenaikan RM1 kepada RM9/kg berbanding hanya RM8 minggu sebelumnya.

“Namun yang paling mendadak naik ketika ini adalah daun ketumbar yang naik RM12 kepada RM24/kg. Turut melonjak naik adalah daun sup dan bawang yang naik kepada RM17 dan RM14 setiap kg berbanding hanya RM10 sebelum ini manakala cili api kampung turut melonjak RM1.50 kepada RM26/kg, kini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peniaga pasar basah sayuran di Tampoi, Suwanto Baharuddin, 48, mengakui bekalan sayuran terutama jenis berdaun semakin berkurangan sejak dua minggu lalu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini