KLANG: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya sedang memantau keadaan di Bukit Raja dan Meru.
“Kami sedar bahawa banjir kilat telah berlaku di lokasi-lokasi ini dan telah menghantar anggota untuk memantau keadaan.
“Buat masa ini, kami masih belum menerima panggilan kecemasan di kawasan tersebut,” katanya dihubungi hari ini.
@buletintv3 Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Klang dilanda banjir kilat. #BuletinTV3 #BanjirKilat #Klang ♬ original sound – BuletinTV3
Beberapa hantaran telah tersebar di media sosial susulan hujan lebat pagi tadi.
Semakan di portal Jabatan Pengairan dan Saliran https://publicinfobanjir.water.gov.my/# menunjukkan bahawa paras air di Sungai Binjai berhampiran Pekan Meru berada pada tahap berbahaya pada paras 4.25 meter pada masa ini.
Sungai Rasau berhampiran Tugu Keris turut mencatatkan paras air berbahaya pada 4.6 meter.
Sementara itu, Sungai Damansara berhampiran Batu 3 dan TTDI Jaya berada pada tahap amaran dengan paras masing-masing pada 5.12 meter dan 7.97 meter.
Menurut portal tersebut, paras air menunjukkan trend peningkatan di keempat-empat lokasi ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.