KUALA LUMPUR: Molek FM, menjadi stesen radio terbaharu di bawah pengurusan Media Prima Audio (MPA) yang berpindah dan memulakan operasi dari studio baharu di Balai Berita, Bangsar, kelmarin.
Ia menyusul Hot FM yang memulakan operasi di konti baharu di Balai Berita pada 23 Disember lalu dan Kool FM pada 6 Januari.
Penyampai slot Molek Pagi, DJ Nazz dan Qila mengakui perpindahan ke studio baharu seiring dengan semangat 2025.
DJ Nazz atau nama sebenar, Nazrin Nordin berkata, lokasi dan persekitaran baharu menjadi pemangkin semangat dalam menarik lebih ramai pendengar.
Apatah lagi, tambah Nazz, dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, Molek FM sudah meraih jumlah pendengar memberangsangkan.
“Alhamdulillah, dalam tempoh kurang tiga tahun, Molek FM merekodkan lebih sejuta pendengar. Ini suatu peningkatan dan pencapaian yang sangat baik buat kami.
“Apa yang dicapai boleh dikatakan suatu fenomena jika melihat rekod pendengar kami sejak mula beroperasi hingga sekarang. Kami tidak tahu apa yang akan datang, tetapi kami sedia berikan yang terbaik buat pendengar sasaran kami.
“Saya dan Qila baru setahun bersama. Jadi, kami mahu menambah baik keserasian dan persefahaman antara satu sama lain. Keserasian yang bagus, menterjemahkan ‘show’ yang bagus.
Sejak 2022, Molek FM bersiaran dari Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya dan perpindahan ke studio baharu memberi semangat baharu kepada Qila.
Qila yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, menganggap dirinya bertuah digandingkan dengan Nazz yang berpengalaman.
“DJ Nazz banyak membantu, mengajar, menegur dan memberi pendapat. Saya fikir sebagai budak baharu, perkara itu yang mahal. Ilmu dan pengalaman mereka tidak mudah dapat.
Melalui konti Molek Pagi, DJ Nazz turut mengendalikan segmen Kerusi DJ Nazz, manakala Qila muncul dengan segmen Qila Lapar.
Molek FM yang menyasarkan pendengar dalam kalangan penduduk pantai timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, semakin mendapat tempat selepas tiga tahun beroperasi dalam industri radio komersial.
Kini, kumpulan media bersepadu, Media Prima berada di bawah satu bumbung bersama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), penerbit Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.
Perpindahan operasi ke premis baharu yang menawarkan studio dengan peralatan baharu menjadi langkah relevan untuk menjadi syarikat media inklusif di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.