Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mok Su, penenun ‘songket bunga dalam’ OKU penglihatan 


Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: 36 tahun lalu dia pernah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ditawarkan melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Pasir panjang, Kuala Terengganu dalam bidang Matematik.

Hasrat untuk menjadi guru terpaksa dilupakan selepas mengalami masalah Retinitis Pigmentose yang menyebabkan matanya menjadi buta.

Namun, demi kelangsungan hidup, Gayah Awang, 55 tahun, kini menjadi penenun songket OKU penglihatan sepenuh masa.

“Mok Su mula-mula pakai cermin mata nampak lagi, lepas STPM tak nampak tulisan sama macam sekarang sudah tidak nampak.

“Dalam tujuh adik-beradik, lima daripada kami mengalami masalah penglihatan dan kini Mok Su buta sepenuhnya.

Bermula saat itu, Gayah Awang yang lebih mesra disapa Mok Su yang menetap di Lorong Kemunting, Kampung Pasir Panjang di sini, meneruskan kelangsungan hidup sebagai penenun songket.

Ketika tiba di rumah ini, Mok Su sedang tekun menenun, menyiapkan songket bunga dalam yang ditempah pelanggannya.

Menurut Mok Su, dia hanya menggunakan deria sentuhan dan proses menenun songket sememangnya tidak mudah untuk dihafal susun atur benang dan mengekalkan corak songket.

Bagaimanapun, kepakarannya ketika menenun bukan calang-calang dan hasil seni tenunan beliau turut diiktiraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan di Terengganu.

“Kalau ikut pada seni kemahiran menenun tidak susah, cuma bimbang tersilap warna dan corak dan juga benang yang ditenun putus,” katanya.

Sebelum mengalami masalah penglihatan, Mok Su sudah pakar menenun selepas belajar dengan arwah ibunya sejak berusia 15 tahun.

Suaminya, Ismail Mat Diah, sudah meninggal dunia 20 tahun lalu akibat sakit jantung dan hasil perkongsian hidup, dia mempunyai empat orang anak.

Salah seorang anak perempuannya, Nurul Hajar Ismail, 27 tahun, turut mewarisi bakat menenun songket bunga penuh dan membantu ibunya menenun setiap hari.

Mok Su menunjukan kemahiran menenun dan dibantu anak perempuannya Nurul Hajar.

Sebagai anak, Nurul Hajar sangat berbangga dengan bakat ibunya itu.

“Terharu, banggalah sangat dengan mak boleh menenun dan boleh buat kerja lagi walau tak nampak mata,” katanya.

Walaupun pendapatan yang diperolehinya tidak banyak, ia tidak mematahkan semangat Mok Su untuk terus gigih bekerja dan menghargai pekerjaan sebagai penenun songket tradisional.

Halimah Dollah, jiran Mok Su yang masih aktif menenun diusia 74 tahun.

Mok Su turut berjiran dengan seorang penenun songket warga emas yang masih aktif menenun iaitu Halimah Dollah, 74 tahun.

Menurut Halimah, dia juga amat kagum dengan kemahiran luar biasa yang dimiliki Mok Su.

“Itu kelebihan Tuhan bagi ke dia, memang dia pandai dari dulu terasa sebab dia tenun dari awal dia tahu kat sini buat corak bunga dan tak ada bunga, pengalaman dia sangat luas,” ujarnya.

Penenun songket ini berharap akan datang lebih ramai generasi muda didedahkan dengan kemahiran menenun supaya ia tidak dipupus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini