IPOH: Satu perbincangan akan diadakan antara Kerajaan Negeri Perak dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memohon tindakan saman tidak dikenakan kepada kenderaan orang ramai di parkir luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A Sivanesan, setakat ini satu pertemuan akan diadakan bersama Ketua Polis Perak, minggu depan bagi menyelesaikan isu itu.
Katanya pertemuan diadakan sementara menunggu ruang meletakkan kenderaan baharu siap.
“Minggu hadapan saya akan jumpa dengan Ketua Polis Perak dan akan bincang supaya pihak polis tidak mengeluarkan saman untuk masa tertentu terhadap orang yang meletak kenderaan di tepi jalan dekat hospital khasnya pada 8 pagi hingga 12 tengah hari atau waktu melawat, ” katanya pada sidang media khas di Klinik Kesihatan Greentown yang terletak berhampiran HRPB.
“Kita juga akan adakan mesyuarat dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan minta cadangan mereka untuk uruskan aduan kita terima memang parkir tidak mencukupi, itu kita akui,” katanya lagi.
Sementara itu, Sivanesan berkata, penutupan kawasan medan kereta di Kinik Kesihatan Greentown dan penghentian perkhidmatan van perantara buat sementara dari klinik itu ke HRPB adalah bagi membina bangunan baharu Klinik Ibu dan Anak Greentown, termasuk penyediaan 240 petak medan kereta yang lebih sistematik dan dijangka siap pada 15 Mei depan.
“Sebelum ini, pelawat hospital memang ada yang parkir di situ (Klinik Kesihatan Greentown) namun untuk sementara waktu ia ditutup dan dipindahkan bersebelahan Velodrom Rakyat Kompleks Sukan Ipoh mulai 13 Mac lalu,” katanya.
Sivanesan berkata, perbincangan turut akan diadakan bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming untuk membina medan kereta tambahan di Hospital Teluk Intan.
Beliau berkata terdapat tanah yang sesuai untuk membangunkan tapak medan kereta untuk hospital itu namun memerlukan peruntukan malah terdapat syarikat swasta yang menyatakan minat bagi melaksanakan kemudahan berkenaan.
“Sekiranya tawaran diberikan adalah munasabah, kerajaan negeri akan mengambil keputusan sama ada akan menswastakan parkir di Teluk Intan atau sebaliknya,” katanya.- HARIAN METRO