SEREMBAN: Sejumlah 47 pengusaha dan pemilik resort atau chalet yang dikesan beroperasi di kawasan berisiko di negeri ini diberi kata dua sama ada memohon Sijil Penyiapan dan pematuhan (CCC) sebelum hujung tahun ini atau berdepan tindakan penutupan.
Selain 40 unit dalam kawasan Seremban, baki chalet atau resort dikenal pasti membabitkan empat di Jelebu dan tiga di Rembau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menyerahkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua pengusaha terbabit untuk mereka mengambil tindakan berkenaan.
Namun, katanya, hanya 12 pengusaha yang memberi maklum, manakala selebihnya berdiam diri.
“Jadi 47 unit resort atau chalet ini dikenal pasti berisiko dari segi keselamatan kerana beroperasi di kawasan bukit dan lereng, selain tanpa kelulusan KM serta tidak mempunyai CCC daripada PBT.
“Sehubungan itu, pengusaha diberikan tempoh sehingga 31 Disember untuk mendapatkan CCC dan jika gagal, PBT akan melakukan tindakan penutupan premis mulai 1 Januari 2025,” katanya pada sidang media di Wisma Negeri di sini petang ini.
Arul Kumar berkata, CCC adalah pengiktirafan rasmi terhadap sesebuah bangunan yang dibina itu sesuai, selamat dan sempurna untuk diduduki.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, berkata CCC juga adalah dokumen mandatori yang disyaratkan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan Pindaan 2007 (Akta 133).
Justeru, katanya, PBT sudah diminta membuat tindakan pemutihan bagi pembangunan yang beroperasi tanpa kebenaran merancang seperti mana yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada 18 Januari 2023.
“Adalah menjadi tanggungjawab PBT memastikan setiap projek pembangunan mempunyai kelulusan KM, kelulusan pelan infra dan pelan bangunan.
“Keperluan syarat ini diambil kira kerana setiap fasa pembinaan perlu disahkan bagi memastikan bangunan adalah selamat untuk dihuni, sekali gus dapat mengelak sebarang tragedi tidak diingini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.