KOTA BHARU: Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Mohd Yusoff menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara pada 31 Ogos lalu.
Sebelum ini jawatan Ketua Polis Kelantan dipangku oleh Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu, Mohd Yusoff dalam ucapannya berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ayob Khan serta barisan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui PDRM Kelantan.
“Pangkat dikurniakan ini bukan saja anugerah dan rezeki tetapi lebih bersifat ujian Allah. Amanah yang bakal saya galas bukan sesuatu mudah tapi ia tanggungjawab besar
“Tanggungjawab ini akan digalas dengan dedikasi dan integriti bagi memastikan keselamatan awam kekal terjaga.
“Saya bertekad untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada PDRM di Kelantan dan saya menyeru semua peringkat pegawai dan anggota untuk bekerja bersama saya dalam mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dan berusaha menjadi lebih baik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.