PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia(SPRM) petang tadi setelah memberi kenyataan berhubung siasatan salah guna kuasa melibatkan syarikat berkait anaknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada Buletin TV3 bahawa Mohd Shukri ditahan di Ibu Pejabat SPRM pagi ini untuk kenyataannya diambil di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berada dalam bangunan SPRM kira-kira sembilan jam sebelum keluar pukul tujuh malam tadi.
Sebelum itu Tan Sri Azam memberitahu wartawan TV3 Siti Khadijah Jaafar bahawa kenyataan Mohd Shukri diambil mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
Ia termasuk menahan beliau sebelum mengambil pernyataan beramaran daripadanya mengikut Seksyen 53 Akta SPRM 2009.
Tan Sri Azam berkata SPRM hanya mengambil keputusan tidak mengenakan tahanan reman terhadap Shukri hari ini, sebaliknya melepaskan beliau dengan jaminan setelah kenyataannya selesai dirakam.
Justeru, tidak timbul persoalan Menteri Besar Perlis itu tidak ditahan.
Terdahulu, Mohd Shukri memuatkan kenyataan di Facebooknya meminta pihak berkenaan tidak menyebar berita palsu berhubung isu penahanan itu .
Kenyataan itu menyusul setelah beberapa media melaporkan beliau ditahan apabila hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk diambil kenyataan.
Mohd Shukri tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 10 pagi tadi.
Tan Sri Azam berkata pegawai penyiasat SPRM diarah untuk melengkapkan siasatan kes itu dalam tempoh sebulan.
Ahad lalu SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin di utara tanah air yang disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan melibatkan peruntukan pejabat menteri besar berjumlah RM1 juta.
Syarikat terbabit didakwa mempunyai kepentingan dengan anaknya.
Pemimpin itu didakwa melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya untuk memperolehi projek pembekalan melibatkan peruntukan Adun bernilai kira-kira RM300,000.
Projek-projek tersebut dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.