comscore
Tumpuan :
Nasional

Mohd Hishamudin Yunus dilantik Pengerusi SUHAKAM yang baharu

FOTO: Laman web MyCC

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baharu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu bermula Rabu lalu dan berkuat kuasa sehingga tempoh tiga tahun.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus sebagai Pengerusi SUHAKAM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohd Hishamudin sebelum ini adalah graduan undang-undang dari University of London dan beliau pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Ketua Pendaftar Mahkamah Agung, Peguam Kanan Persekutuan dan Presiden Mahkamah Sesyen.

Beliau yang mempunyai pengalaman undang-undang selama 45 tahun turut memperoleh pensijilan Timbang Tara Komersial Antarabangsa daripada Chartered Institute of Arbitrators, United Kingdom.

Sepanjang perkhidmatannya di Mahkamah Tinggi, beliau sudah menulis lebih 750 penghakiman yang telah dilaporkan dalam jurnal undang-undang.

Selain itu, Datuk Seri Mohd Hishamudin juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Perusahaan Utama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini