Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa esok (1 Mac 2023).
Pengumuman itu dibuat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, yang turut disertakan gambar penyerahan surat lantikan.
Fahmi berkata, Tan Sri Salim pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah MCMC dan menjadi Pengerusi Interim MCMC dari Jun 2022 sehingga Januari lalu.
“Saya percaya pelantikan beliau akan membantu ke arah usaha mengatasi isu-isu prasarana komunikasi termasuk bagi 3 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum punyai capaian internet.
“Ia bagi mengatasi kesenjangan digital dan memacu Malaysia ke arah ‘dekad digital keemasan’,” katanya.
Jawatan Pengerusi MCMC kosong sejak Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek mengakhiri perkhidmatannya pada 9 Jun 2022.
Jawatan itu kemudian diisi oleh Mohamad Salim sebelum Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain mengambil alih kepimpinan berkenaan sebagai Pengerusi Interim MCMC sejak 5 Januari lalu.