
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini mengumumkan pelantikan Mohamad Rafi Shahzada sebagai Pengerusi baharu MARA Corporation Sdn Bhd.
Pelantikan itu berkuatkuasa pada 27 Mac lalu dan bagi menggantikan Tan Sri Hamad Kama Piah.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelantikan itu bertujuan memastikan potensi dan prestasi syarikat dapat dikembang dan dipertingkat.
“Saya memberi harapan kepada beliau atas kapasiti pengalamannya yang luas dalam dunia korporat supaya memastikan pemilikan, penyertaan dan penguasaan agenda Bumiputera dapat diperkasakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MARA hari ini.
Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Hamad atas perkhidmatan beliau bermula Julai 2023 sehingga Mac ini, yang tidak dinafikan banyak memberikan sumbangan dan manfaat kepada subsidiari MARA itu.
Mohamad Rafi, 57, lulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Accounting and Finance daripada University of Wales, 1991, turut memiliki kelayakan profesional perakaunan daripada London School of Accounting & Emile Wolfe, United Kingdom.
Beliau mula menceburi kerjayanya pada tahun 1986 di Bank of America, Kuala Lumpur.
Kemahiran dan kepakaran beliau mula berkembang dalam pelbagai perihal seperti perbankan, perakaunan, pengurusan syarikat, minyak dan gas petrokimia, insurans, audit, dan hal ehwal kawal selia korporat.
Mohamad Rafi pernah berkhidmat sebagai Pengurus Linco Limited Trading, London sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Bank of Credit and Commerce International (BCCI), United Kingdom.
Beliau perlu memandu arah dan memastikan 12 subsidiari MARA Corporation yang merangkumi segmen pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan, pelaburan, hartanah, aeroangkasa dan pembangunan latihan dapat mencapai prestasi terbaik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.