Tumpuan :
Nasional

Mohamad Asfia angkat sumpah Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak 

KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dilantik untuk memangku Jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak bermula hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu pada jam 4.00 petang di hadapan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Datuk Dr Alwi Abdul Wahab di Astana Negeri Sarawak.

Pelantikan Mohamad Asfia itu berikutan ketiadaan Tun Abdul Taib Mahmud yang kini masih dalam proses pemulihan kesihatan di luar negara.

Pelantikan ini merupakan kali keenam beliau melaksanakan tugas terbabit dengan kali terakhir adalah bagi tempoh 30 November 2019 hingga 11 Januari 2020.

Artikel berkaitan: Asfia pemangku TYT Sarawak, angkat sumpah esok

Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Pemangku Yang di Pertua Negeri sebanyak lima kali dengan lantikan pertama bermula pada 27 Disember 2011 hingga 10 Februari 2012.

Tan Sri Mohamad Asfia akan memangku jawatan tersebut berkuatkuasa semalam (16 Ogos) hingga 17 September depan.

Beliau juga  dilantik Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak; dan Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Parti PBB Sarawak sejak 2002 hingga kini.

Pada masa sama Mohamad Asfia juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi DUN Kuala Rajang dari 1979 hingga 1983 dan Serdeng / Semop  dari tahun 1991 hingga 2011 dan dilantik Timbalan Speaker DUN Sarawak pada 1995 hingga 2000, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Sarawak bermula 15 Januari 2000.

Loading...
Terkini