comscore
Tumpuan :
Nasional

Mohamad akan bangkitkan isu beras dalam mesyuarat Kabinet esok

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran kali ke-25.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Isu bekalan dan harga beras yang menimbulkan kebimbangan pengguna akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau akan membangkitkan isu semasa mengenai makanan ruji rakyat negara ini dalam mesyuarat tersebut.

“Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet terlebih dahulu) tapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku (berkaitan isu beras) yang saya akan sampaikan dalam Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran kali ke-25, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood dilaporkan berkata, kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam negara adalah disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.

Peningkatan harga beras putih import memberi kesan kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada BPT.

Terdahulu, India yang dikenali sebagai pengeksport bijirin terbesar dunia dengan penguasaan pasaran global sebanyak 40 peratus, mengenakan larangan eksport ke atas beras putih bukan basmati.

Tindakan itu selepas harga beras runcit meningkat tiga peratus bulan lalu, selain berlaku hujan monsun lebat menyebabkan kerosakan besar-besaran pada tanaman.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, sebarang langkah untuk memecah monopoli beras perlu dibincangkan bersama kementerian berkaitan antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri.

Ini kerana konsesi penswastaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) selaku pengimport beras telah dilanjutkan selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

“Kalau kita nak pecahkan (batalkan) perjanjian ini, ia mengambil masa dan juga mesti ada alasan yang kuat. Sebab itu kita kena lihat secara keseluruhan.

“Tapi kita termasuk Perdana Menteri memang memikirkan soal keterjaminan makanan secara serius khasnya kalau dulu berkaitan ayam dan telur dan sekarang adalah beras kerana berlaku kenaikan harga beras import yang begitu mendadak serta tinggi. Keadaan ini berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan pimpinannya akan meneliti isu monopoli import beras.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini