Tumpuan :
Nasional

Mogok doktor kontrak: Tiada laporan cuti mengejut diterima JKN Kedah

Pesakit mendapatkan rawatan seperti biasa di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar

Oleh Kumaran Rajamoney

JITRA: Khidmat kesihatan awam di Kedah tidak terjejas di sebalik ancaman mogok oleh doktor kontrak yang dikatakan bermula hari ini hingga Rabu ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata sejak pagi tadi, beliau tidak menerima laporan tentang gangguan perkhidmatan di semua fasiliti hospital dan klinik kesihatan di negeri itu.

“Bahkan, pihak kami juga tidak menerima laporan mengenai pengambilan cuti secara berkelompok atau mengejut. Kami juga tidak mendapat laporan mengenai sebarang perhimpunan secara beramai-ramai dari doktor kontrak yang dilaporkan mogok.”

“Bagaimanapun, pihak kami telah membuat persiapan bagi berhadapan situasi luar jangka dengan membuat penyusunan semula jadual tugasan doktor tetap. Ini bagi memastikan khidmat dapat diberikan pada tahap terbaik kepada semua pesakit,” katanya.

Ketua jabatan dan ketua klinik juga telah dinasihatkan memantau keperluan semasa bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini di kesemua 10 Hospital dan 85 klinik kesihatan.

Dr Othman berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai pemeriksaan dan operasi kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan 2023 di sini.

Loading...
Terkini