KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan pada 2018.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharu institusi pengurusan haji negara itu.
“Setelah meneliti perkembangan dan bincang dengan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pengerusi Lembaga TH Tan Sri Azman Mokhtar, saya telah beritahu daripada awal bahawa sebaik sahaja TH diurus dengan baik, maka MoF akan memulakan perbincangan supaya menyerahkan semua aset yang dipegang SPV.
“Ini juga mematikan fitnah amat tidak bertanggungjawab pada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dan kerajaan ketika itu seolah-olah memindahkannya pada kelompok bukan Islam. Tidak, saya lihat rekodnya, dan di MOF, ia masih dalam pegangan MoF, sekarang saya pegang amanahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH hari ini. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN