ALOR SETAR: Modul yang dibangunkan jawatankuasa khas berhubung silibus pemulihan akidah pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sudah siap dan bakal dibentangkan kepada pihak berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Ahmad Fauwaz Fadzil juga ketika ini sedang menyiapkan satu rangka modul khas yang membabitkan pemimpin-pemimpin peringkat atasan organisasi terbabit.
“Saya ingat telah siap kajian yang dibuat cuma laporan itu belum dikemukakan, saya dimaklumkan yang semua modul yang melibatkan (pengikut) dewasa, modul yang melibatkan kanak-kanak yang terlibat dalam GISB ini telah siap.
“Mereka (jawatankuasa khas) juga tengah menyiapkan rangka modul khas yang melibatkan ketua-ketua pimpinan atasan GISB yang sekarang ditahan.
“Insya Allah apabila kita sudah sudah lengkap kita akan dapatkan kebenaran Menteri Dalam Negeri supaya jawatankuasa yang terlibat boleh bertemu dan berbincang dan menyampaikan modul yang telah siap melibatkan ketua-ketua GISB yang ditahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Misi Bantuan Banjir di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd Na’im dilaporkan berkata sebanyak tujuh modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISBH sedang dibangunkan oleh jawatankuasa khas yang kini berada di peringkat akhir.
Katanya, modul berkenaan adalah akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.
Aspek deradikalisasi turut akan menjadi sebahagian daripada modul yang akan digunakan dalam pemulihan akidah kanak-kanak GISBH.
Fokus itu antara ditekankan dalam usaha menangani kemelut akar umbi radikalisasi dicetuskan kepercayaan dan pegangan salah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.