KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang memuktamadkan model konsolidasi pekebun kecil yang dilihat mampu melonjakkan semula industri getah dan meningkatkan hasil pengeluarannya secara optimum.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata melalui model itu, pulangan pendapatan diraih pemain industri getah khususnya dalam kalangan pekebun kecil lebih terjamin dan konsisten.
Katanya, malah model konsolidasi membabitkan beberapa rantaian itu secara tidak langsung menjamin pulangan stabil dengan pendapatan pekebun tidak lagi bergantung kepada harga getah semasa.
“Perkara ini sedang diusahakan serta dibincang bersama agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELDA, FELCRA dan Persatuan Pekebun Kecil Malaysia.
“Sebab apa yang berlaku dalam industri kita hari ini, pemain huluan atau hiliran ini (mereka) tetap akan beli walaupun harga getah naik atau turun. Jika tidak, kilang (mereka) terpaksa di tutup.
“Jadi cubaan untuk mewujudkan satu sistem konsolidasi untuk pekebun kecil yang tidak lagi mampu usahakan ladang kerana faktor seperti faktor usia membolehkan (ladang mereka) ditadbir melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, malam ini.
Beliau berkata, melalui model itu, LGM akan menyokong RISDA bagi mengendalikan sistem penanaman berskala besar.
Pada masa sama, inisiatif ini berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada getah import.
“Kalau dulu kita adalah pengeluar getah nombor satu dunia tetapi hari ini kita import hampir 1.1 juta tan getah asli yang bernilai hampir RM6 bilion.
“Sedangkan RM6 bilion ini patut kita berikan kepada pekebun kecil yang ramai telah tua, tidak larat lagi untuk menoreh, malah (berdepan masalah) kerana saiz tanah (diusahakan) adalah kecil,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan dua lagi kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mewujudkan satu akta mengawal dan membendung penipuan kandungan dalam baja.
Katanya, akta itu penting khususnya kepada pekebun kecil, berikutan banyak kes penipuan sehingga menjejaskan hasil komoditi pertanian negara, antaranya membabitkan kelapa sawit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.