Tumpuan :
Nasional

MO baharu penipuan telefon guna dokumen palsu ada logo, tandatangan polis

IPOH: Memperdayakan mangsa dengan menghantar dokumen palsu menggunakan paparan waran tangkap atau notis kehadiran yang mempunyai logo polis.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan malam tadi berkata taktik itu merupakan antara modus operandi (MO) terbaharu sindiket penipuan dalam talian yang dikesan pihaknya.

Tambah Mohd Yusri setakat ini pihaknya sudah menerima dua laporan polis yang menggunakan modus operandi berkenaan, kononnya melibatkan Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Perlis.

Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang peniaga kedai makan di Teluk Intan, yang ditipu kononnya waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya namun ia tidak melibatkan kerugian apabila peniaga itu terus membuat laporan polis.

Manakala dalam kes kedua seorang pensyarah universiti menjadi mangsa, mengakibatkan beliau mengalami kerugian RM98,000.

Difahamkan kedua-dua kes berlaku baru-baru ini.

Foto hiasan

Sementara itu, Mohd Yusri berkata sepanjang tahun lepas 358 kes ‘phone scam’ telah dilaporkan, membabitkan kerugian berjumlah RM15,110,598.87, manakala bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, 181 kes ‘phone scam’ disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM8,088,363.49

Katanya antara modus operandi yang digunakan ialah menyamar sebagai pihak berkuasa, institusi kewangan, mahkamah, syarikat insurans dan syarikat penghantaran. -BERNAMA

Loading...
Terkini