KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan menggunakan kelulusan peringkat Ijazah Sarjana Muda sebagai syarat minimum untuk bekerja dalam bidang kejururawatan dan kebidanan.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman, berkata cadangan itu pernah dibentangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bahagian Kejururawatan KKM.
“Namun sehingga kini pihak berkenaan masih tidak memberi maklum balas.
“Kemasukan menggunakan Ijazah Sarjana Muda akan membolehkan jururawat mendapat gaji lebih tinggi berbanding diterima sekarang, katanya memetik laporan BH, hari ini.
Katanya, di Thailand, Ijazah Sarjana Muda menjadi kelayakan minimum untuk berkerja dalam bidang kejururawatan dan sudah diselaraskan sejak tahun 2000 lagi.
“Singapura juga mendahului dengan pendaftaran jururawat amalan lanjutan di peringkat Sarjana. Filipina dan Indonesia juga melangkah ke hadapan.
“Naik taraf ini selari dengan perancangan strategik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021-2025 yang mencadangkan Ijazah Sarjana Muda sebagai syarat minimum untuk bekerja dalam bidang kejururawatan dan kebidanan,” katanya.
Tegasnya, jururawat adalah kunci untuk memastikan kesihatan rakyat dapat dilindungi, sekali gus paling dekat dengan masyarakat.
“Oleh itu, nasihat dan fakta berkaitan ilmu kesihatan diberikan jururawat perlu tepat, jelas, saintifik dan profesional,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pemegang ijazah kejururawatan tidak diterima hospital kerajaan dan swasta di negara ini yang lebih cenderung memilih lulusan diploma kerana gaji lebih murah.
Situasi itu mendorong ramai jururawat tempatan berkelulusan ijazah berhijrah ke luar negara seperti Arab Saudi, Singapura, Brunei serta United Kingdom (UK) yang sedia mengiktiraf kemahiran mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.