comscore
Tumpuan :
Nasional

MMA lega Kertas Putih Kesihatan diluluskan

Presiden MMA, Dr. Muruga Raj Rajathurai. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menzahirkan rasa gembira apabila parlimen telah meluluskan Kertas Putih Kesihatan.

Presidennya, Dr. Muruga Raj Rajathurai dalam kenyataannya berkata pada masa sama pihaknya tetap berasa kecewa kerana Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok itu lambat dibentangkan.

Tambah Dr. Muruga, MMA mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parlimen kerana menyokong Kertas Putih Kesihatan dan mengetengahkan banyak isu yang menjejaskan penjagaan kesihatan negara semasa sesi perbahasan semalam.

Katanya, dengan asas yang telah dibentangkan, proses melaksanakan pembaharuan kini boleh dimulakan.

Foto hiasan

Jelas beliau, MMA sejajar dengan pandangan yang dikongsi oleh beberapa ahli parlimen bahawa kepimpinan yang kukuh adalah penting untuk kejayaan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenali sebagai seorang reformis, pihaknya berharap kerajaan akan memastikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dengan menyediakan sokongan yang diperlukan termasuk peruntukan dana dan kerjasama daripada kementerian bagi memudahkan pelaksanaan reformasi yang dirancang itu berjaya.

Tambah beliau, pihaknya berharap visi yang jelas untuk pembaharuan penjagaan kesihatan akan diterjemahkan kepada komitmen yang lebih kukuh terhadap pembiayaan.

MMA menjangkakan peningkatan yang lebih ketara dalam belanjawan kesihatan tahunan, yang benar-benar mencerminkan dedikasi kerajaan terhadap pembaharuan.

Loading...
Terkini