Tumpuan :
Nasional

MMA bincang isu WBB dengan Menteri Kesihatan

Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira (empat dari kiri) dan ahli jawatankuasa MMA bergambar dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada pertemuan di Kementerian Kesihatan (KKM). FOTO: MMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pegawai kementerian bagi membincangkan isu berkaitan petugas penjagaan kesihatan dan penjagaan kesihatan awam.

Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, antara isu yang dibincangkan adalah dasar Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang menyebabkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan doktor dan kumpulan doktor muda sepanjang minggu lalu.

Katanya, dengan maklum balas yang diterima daripada ahli persatuan dan doktor lain, MMA menerangkan secara terperinci alasan dan keraguan mengenai sebab doktor dalam sektor penjagaan kesihatan awam secara amnya tidak bersetuju dan enggan menyokong sistem WBB.

“Kami mengakui niat di sebalik dasar yang dirancang itu tetapi menekankan keperluan untuk menangani kekurangan dan ketidakseimbangan pengagihan petugas penjagaan kesihatan dalam sistem sedia ada, sebelum sebarang sistem baharu dirancang.

“Mengenai isu yang sama, MMA turut mengulangi keperluan untuk membabitkan pihak berkepentingan, termasuk MMA, dalam peringkat perancangan sebelum pengenalan sebarang dasar baharu, terutama apabila ia memberi impak kepada tenaga kerja penjagaan kesihatan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, satu surat edaran bertajuk Pelaksanaan Sistem WBB Fasa Pertama bertarikh 10 Januari yang dikeluarkan KKM, menyatakan yang WBB diluluskan untuk projek Fasa Pertama oleh Ketua Setiausaha KKM pada 3 Januari lalu, membabitkan beberapa jabatan di hospital terpilih.

Pelaksanaan sistem itu mendapat kritikan, antaranya berkaitan syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam, dari jam 3 petang hingga 9 pagi keesokannya sehingga mereka tidak mendapat elaun ‘on call’.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menjelaskan, surat edaran dalaman itu adalah garis panduan pelaksanaan projek rintis WBB kepada fasiliti terbabit supaya persediaan di lapangan dapat dibuat sebelum projek rintis itu dilaksanakan, namun ia didedahkan kepada awam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga disalah faham dan fungsinya.

Selain itu, Dr Kalwinder, memaklumkan MMA juga mengulangi gesaan supaya kenaikan elaun ‘on call’ segera dilaksanakan secara menyeluruh untuk semua doktor yang berkhidmat dalam penjagaan kesihatan awam, yang disuarakan sejak sekian lama.

Pihaknya menekankan bahawa kenaikan itu mesti diberikan kepada semua doktor dan tidak dikaitkan dengan mana-mana sistem kerja tertentu, dan sejak tahun lalu, doktor dalam perkhidmatan awam sentiasa berharap kerajaan menunaikan janji yang dibuat.

“MMA juga menekankan keperluan ketelusan dalam proses pemberian jawatan tetap kepada doktor kontrak.

“Kami menggesa proses pemilihan dijalankan dengan jelas dan adil. Maklumat mengenai kriteria pemilihan mesti diberikan kepada doktor ini supaya mereka tahu di mana kedudukan mereka dan apa yang diperlukan daripada mereka,” katanya.

Pada masa, Dr Kalwinder berkata, pihaknya juga membangkitkan mengenai isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang dikurangkan kepada jumlah yang jauh lebih rendah selepas pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Katanya, MMA mahu ia dberikan perhatian bagi menjamin kesaksamaan elaun bagi doktor yang berkhidmat dalam kapasiti dan kemudahan sama dapat dikekalkan.

Beliau berkata, MMA turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan perancangan untuk masa depan dan mahu memastikan bakat baharu berkembang di sekolah dan kolej perubatan supaya mereka mempunyai masa depan sebagai doktor, terutama dalam sektor penjagaan kesihatan awam negara ini.

“MMA mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan dan pasukannya kerana meluangkan masa untuk bertemu dengan kami.

“Kami mengharapkan hasil yang positif dan menantikan kerjasama berterusan dalam menangani isu mendesak dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini