AMPANG: Dengan sekali lafaz, anggota kumpulan K-Clique, MK sah bergelar suami kepada gadis pilihan hati, Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, pada majlis pernikahan di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang di sini, pada jam 9.35 pagi tadi.
MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa pengantin perempuan, Datuk Sri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.
Pada majlis itu, MK memberikan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.
Penyanyi yang berasal dari Tawau, Sabah ini turut menyerahkan enam dulang hantaran berbalas enam dulang daripada pengantin perempuan.
MK ketika ditemui sangat teruja dan bersyukur majlis pernikahannya lancar.
“Alhamdulillah, majlis lancar dan dipermudahkan walaupun persiapan dibuat dalam masa singkat. Doakan kebahagiaan kami,” katanya.
Majlis pernikahan MK dan Siti Hajaar dihadiri 100 tetamu merangkumi keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak.
Spekulasi MK bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan selepas dia memuat naik foto saiz pasport lengkap memakai songkok dalam media sosial.
Mengukuhkan lagi spekulasi itu, ada yang mendakwa MK sudah bertunang dengan Siti Hajaar selepas foto mereka berpakaian sedondon bersama keluarga dengan gadis itu menunjukkan cincin di jari, tersebar.
Terbaharu, tular video di aplikasi TikTok yang menampakkan penyanyi rap itu menghadiri kursus kahwin.