TANJONG KARANG: Sebuah kereta Hyundai Accent yang ditemui separuh tenggelam di dalam parit Jalan Masjid, Kampung Sungai Tengi, di sini awal pagi hari ini, menimbulkan tanda tanya apabila tiada kelibat pemandu di lokasi kejadian.
Berdasarkan saksi kejadian, kenderaan itu dipercayai terbabas ke dalam parit sedalam 3.6 meter dengan seorang lelaki berusia 32 tahun berada di dalamnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.56 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kereta itu berjaya dibawa naik pada 8.55 pagi dan didapati tiada mangsa. Kerja-kerja pencarian kemudian dijalankan.
“Jam 2.58 petang, unit PPDA melakukan penyelaman dengan jarak 50 meter. Mayat mangsa berjaya dijumpai pada jarak 100 meter di timbunan rumput dari keretanya,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa dibawa naik dan dihantar ke Hospital Tanjong Karang.
Menurutnya, manakala kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.