Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
PETALING JAYA : Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH 370 masih kekal misteri hingga ke saat ini dengan pelbagai persoalan berlegar tanpa jawapan.
Justeru, kesediaan kerajaan baru-baru ini untuk mempertimbangkan pencarian semula pesawat malang itu, memberi harapan baharu.
Namun bagi pakar penerbangan, pelbagai teori yang dicadangkan perlu dinilai dengan sewajarnya bagi merealisasikan penemuan kepada pesawat malang itu.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari radar kurang sejam ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.
Sejak itu, pelbagai pihak berusaha mengesannya menerusi pencarian meliputi kawasan seluas 120,000 meter persegi, sehingga operasi dihentikan pada 2018 kerana menemui jalan buntu.
Dan kini – selepas 6 tahun dihentikan, usaha pencarian masih disifatkan pakar penerbangan sebagai relevan untuk diteruskan.
Namun berpendapat perlu adanya pihak atau individu bertindak sebagai ‘nakhoda’ kepada operasi, selain teori sahih untuk diguna pakai.
“Kalau ada perjumpaan serpihan, siapa yang akan cakap dia ambil ? siapa yang buat kajian ? siapa yang buat satu keputusan dan cakap pada kerajaan kita ini sahih kita patut tinjau dengan mendalam.
“Jadi saya tak nampak ada seorang nakhoda dari segi MH370.
“Pada saya, dia perlu ada selagi file itu terbuka sampai kerajaan cakap kita give up, tetapi setahu saya kita tak give up masih open book, buku masih terbuka file masih terbuka.
“Jadi perlu ada ‘Pegawai Penyiasat’. Ia kalau kita kata untuk jadi nahkoda isu ini.” kata Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, Bekas Ketua Juruterbang Serantau Malaysia Airlines (MAS) ketika ditemui Buletin TV3.
Beliau turut optimis dengan perkembangan teknologi dron dan pengimejan dasar laut terkini mampu menentukan lokasi sebenar kehilangan pesawat itu.
Teori Jurutera Aeronautik Britain, Richard Godfrey, dilihat mampu merungkai misteri kehilangan MH370.
Berdasarkan teori Godfrey yang diterbitkan secara umum dalam laman sesawang mh370search.com; sistem penjejakan baharu yang dipanggil Weak Signal Reporter (WSPR) boleh digunakan, selain menggabungkan teknologi baharu lain dengan data sistem komunikasi satelit dari pesawat.
Ia termasuk data satelit, oseanografi, analisis drift dan data prestasi daripada boeing.
Kajian Godfrey mendapati pesawat Boeing 777 itu terhempas ke Lautan Hindi, kira-kira 1,933 kilometer barat Perth, Australia dan dikatakan terletak pada kedalaman 4,000 meter dasar laut yang dikenali sebagai Broken Ridge, iaitu dataran tinggi bawah air dengan gunung berapi dan lurah di tenggara lautan hindi.
Godfrey ketika dihubungi menerusi panggilan video menyatakan keyakinan kepada metodologi itu.
“Saya sangat yakin empat set data berbeza ini adalah bebas sepenuhnya. Oseanografi tiada kaitan dengan satelit dan satelit tiada kaitan dengan boeing, pesawat 777 juga tiada kaitan dengan radio amatur. jadi set data ini sangat bebas dan semua petanda menunjukkan pada lokasi yang sama.” kata Godfrey ketika dihubungi.
Katanya, usaha yang dilakukan itu tidak mengharapkan balasan, sebaliknya hanya ingin membantu menyelesaikan teka teki misteri kehilangan MH 370.
“Saya mempunyai harapan besar bahawa data lokasi terhempas yang diperolehi WSPR adalah sahih, ia disahkan secara bebas oleh Prof Simon Maskell (Pakar Sistem Autonomi) dan pasukannya di Universiti Liverpool serta ahli akademik lain yang menganalisis data WSPR. Jadi anda tidak perlu mengambil pendapat saya semata-mata selain boleh juga mengambil pendapat mereka.” ujar Godfrey.
Bagi Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan, tidak rugi bagi kerajaan mengadakan perbincangan lanjut bersama jurutera berkenaan untuk membolehkannya menerangkan teori itu secara mendalam kepada pakar tempatan untuk dijadikan panduan kepada operasi pencarian baharu.
“Dulu pencarian dia sebesar Semenanjung Malaysia kawasan pencarian, sekarang 30 kilometer persegi. Kita boleh kata besar Shah Alam je lah, jadi ada peluang besar untuk mencari kerana untuk mencari itu telah di ditandakan oleh Richard Godfrey, dah kecilkan.
“Jadi konfiden itu ada tapi nak cakap 100 percent itu masih lagi kuasa Allah.” kata Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan.
Dalam pada itu – waris dan keluarga mangsa pesawat malang itu tidak pernah berhenti berharap.
Menerima ketentuan insan tersayang tidak akan kembali lagi – namun setidak-tidaknya kisah menyayat hati 10 tahun lalu itu ada penjelasan kepada apa sebenarnya yang berlaku.
“Ada berpuluh teori yang diwujudkan oleh pakar sebenarnya pakar, ada yang sendiri menamakan diri mereka pakar. Jadi bagi saya walaupun dia pakar yang tulen atau palsu, semua itu teori sahaja.
“Asalkan kapal terbang itu tidak dijumpa, kita tidak tahu siapa yang betul siapa yang tak betul, tetapi bagi saya yang penting adalah menggunakan data yang kita ada.” kata V. P. R. Nathan, Waris Anne Daisy.
“Terbelah kepada dua, apa keputusan yang nak kami terima, ada yang setuju dan ada yang tidak. Macam saya dan ramai lagi tidak sependapat dengan benda (MH 370) itu terhempas.
“Kita tidak sependapat tetapi kita tidak la pergi memberontak kan ia cuma apa keputusan yang kerajaan nak buat. Apa yang mereka akan buat, bagus lah.“ luah Intan Maizura Othama, Waris Mohd Hazrin Mohamed Hasnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.