Oleh: Fareez Azman
Setiap insiden tanah runtuh sudah tentu menjadi tumpuan pengamal media dalam memberikan liputan secara langsung kepada penonton baik dalam siaran televisyen mahupun media sosial.
Namun bagi pandangan penulis, insiden kehilangan wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang dalam kejadian mendapan tanah pada 23 Ogos lalu di Masjid India, sekali lagi membuktikan bagaimana misi operasi itu amat berisiko.
Sejak hari pertama pencarian, penulis telah berada di lokasi pencarian bagi memberi liputan berita.
Senario kali ini berbeza
Kali ini, senarionya dilihat amat berbeza berbanding beberapa lokasi tragedi tanah runtuh seperti di Batang Kali pada tahun 2022.
Jika disitu, kawasannya melibatkan tanah lapang, namun kali ini kawasan pencarian sedalam lapan meter, juga ruang kumbahan yang sudah tentu sukar untuk ditembusi manusia sekiranya tiada kepakaran.
Dari menggunakan Unit Anjing Pengesan K9, sehinggalah pengorek milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari pertama, setiap pergerakan anggota SAR tidak terlepas dari pandangan penulis.
Media ketika itu, hanya dibenarkan berada kira-kira kurang 50 meter dari ground zero, lubang mendapan itu juga masih segar dan boleh dilihat dengan jelas.
Cubaan beberapa kali untuk lebih dekat dengan kawasan itu juga gagal, kerana pihak berkuasa telah meletakkan penanda larangan masuk, serta kawalan ketat di setiap penjuru lokasi kejadian.
Berita demi berita disampaikan
Dari kawasan yang dibenarkan itu, hanya berbekalkan sebuah kerusi ‘healing’ dibeli dari sebuah kedai peralatan sukan dan riadah, menjadi peneman penulis dikala semakin ramai pengamal media mulai tiba.
Setiap masa, ada sahaja berita yang akan dihantar ke editor bertugas mengenai perkembangan terkini operasi mencari mangsa.
Begitu juga pihak berkuasa, terus memberikan maklumat lanjut apabila ada sesuatu yang mereka jalankan.
Harapan media ketika itu, agar mangsa cepat ditemui dan dalam keadaan selamat kerana insiden baharu sahaja berlaku.
Siang berganti malam, membawa ke pagi hari demi hari berlalu dan pasukan SAR dilihat tidak berganjak dari lokasi kejadian.
Misi mereka hanya satu, mencari dimana Vijaya Lakshmi yang hilang.
Anggota SAR amat komited
Dari sudut pemerhatian penulis, setiap kaedah yang dilakukan pasukan SAR akan dimaklumkan kepada kami.
Teknik ‘flushing’ iaitu menyekat air di lurang kumbahan sebelum dilepaskan semula bagi memastikan tujuhan air yang dihasilkan itu membawa semua serpihan atau objek yang tersekat ke Loji Rawatan Kumbahan IWK di Pantai Dalam kira-kira 7 kilometer dari Masjid India.
Juga digunakan teknik ‘jetting’ iaitu semburan air bertekanan tinggi di lurang kumbahan yang mana dikenal pasti tersekat salirannya kerana objek tertentu.
Anggota penyelam yang keluar dari lurang kumbahan, dilihat segera disembur dengan air bersih untuk memastikan mereka selamat daripada sebarang reaksi gas mahupun air toksik.
Loji Kumbahan juga dikeringkan di beberapa tempat, tetapi kelibat mangsa masih gagal ditemui.
Jika dihitung masa mereka bertugas, seawal jam lapan pagi sudah mulai pencarian yang selalunya berakhir diantara jam 4 hingga 6 pagi.
Ada anggota SAR yang dilihat penat dari raut wajahnya, namun apabila penulis mendekatinya perkataan yang dikeluarkan hanya ‘Insya-Allah kami cari sampai jumpa’
Apa pun yang pasti, kederat dan semangat setiap anggota SAR ini mencerminkan bagaimana bersungguh-sungguhnya mereka dalam menyelesaikan sesuatu tugas.
Ketika artikel ini ditulis, sudah ramai yang kini memahami betapa sukarnya tugasan pasukan SAR yang memikul amanat negara kerana lencana di dada.
Penulis Fareez Azman merupakan wartawan meja jenayah dan bencana di Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.