comscore
Tumpuan :
Nasional

Misi mencari Hawari akan diteruskan tahun depan

Ketua Misi 2023, Azim Afif Ishak (tengah) . Foto : NSTP

GEORGE TOWN: Usaha mencari anggota pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim akan diteruskan tahun depan. Menurut Kelab Explorasi Altitude Malaysia, ia akan dilakukan menerusi satu pembentukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Kelab Explorasi Altitude Malaysia adalah pihak yang bertanggungjawab ke atas program ME2023 yang disertai oleh Hawari. Hawari 33 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu sehari selepas dia dilaporkan sampai ke puncak Everest. Beliau adalah kakitangan Muzium Negeri Pulau Pinang selama lebih 10 tahun.

Ketua misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata pasukan SAR itu akan memulakan operasi mereka sebaik musim pendakian baharu Gunung Everest dibuka. Katanya, mereka akan mengupah enam malim gunung daripada kalangan penduduk tempatan yang akan terbabit secara aktif dalam operasi SAR itu.

“Kami akan memulakan operasi pada awal musim (April) hingga akhir (Jun). Operasi tahun depan akan memfokus pada bahagian atas Gunung Everest (dari kem 4 dan ke atas) yang turut dikenali sebagai zon maut. Ini kerana operasi SAR pada tahun ini hanya menumpu pada Kem 3 dan ke bawah,” katanya.

Tambah Azim, beliau sendiri akan terlibat dalam operasi SAR itu.

“Kami perlu mencari tubuh Hawari atau sekurang-kurangnya jejak beliau seperti kasut, jaket atau peralatan yang pernah digunakannya. Jika gagal, pihak kami tidak boleh memperolehi sijil kematian Hawari dan ini akan memberi kesan kepada skim pencen serta kemudahan lain yang layak diterima oleh isteri Hawari dan anak-anaknya.”

Muhammad Hawari Hashim. Foto : NSTP

Jelas Azim, baki dana daripada kerajaan persekutuan dan negeri akan digunakan untuk operasi SAR itu tahun depan.

Kerajaan pusat dan Pulau Pinang masing-masing sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM1.48 juta dan RM500,000 bagi mencari Hawari.

Ketika ini status Hawari masih dikategorikan sebagai orang hilang oleh kerajaan Nepal.

Loading...
Terkini