Tumpuan :
Nasional

Misi kesan baki 7 mangsa tanah runtuh diteruskan

 

Anggota bomba menggunakan khidmat anjing pengesan ketika operasi mencari mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali. – FOTO: JBPM

BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki tujuh lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, diteruskan untuk hari ketujuh pagi ini.

Operasi dimulakan jam 8 pagi membabitkan semua agensi diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut terbabit pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Cuaca di lokasi hari ini agak mendung dan ketika ini, lebih 30 pengamal media sudah pun berada di lokasi berkenaan untuk melaporkan situasi serta perkembangan terkini.

Selain itu, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9), jengkaut serta Unit Dron PDRM diteruskan dalam operasi SAR ini.

Terdahulu, operasi SAR hari keenam semalam ditangguhkan kira-kira jam 4 petang berikutan cuaca hujan lebat.

Sebelum itu, dua mayat ditemukan masing-masing membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki bersama dua anjingnya, masing-masing mangsa ke-25 dan ke-26 tragedi itu.

Mayat lelaki dewasa itu ditemukan jam 11.16 pagi semalam di Sektor B (Farm View), manakala mayat kanak-kanak perempuan berkenaan ditemukan jam 11.15 malam kelmarin di Sektor C (Riverside).

Pasukan penyelamat juga tidak menolak kemungkinan untuk melakukan penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa mengambil kira penemuan mayat kanak-kanak perempuan yang belum dikenal pasti idnetiti itu pada kedalaman ‘luar jangka’ iaitu kira-kira 17 meter.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 26 lagi disahkan terkorban dan tujuh masih hilang.

Loading...
Terkini