
Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penjualan serta penggunaan alat penyahaktif penggera tali pinggang keledar atau ‘dummy buckle’ yang kini semakin berleluasa di pasaran.
Ketua Pengarahnya, Siti Zaharah Ishak berkata, hasil kajian dan ujian pelanggaran dijalankan pihaknya mendapati aksesori itu bukan sahaja menjejaskan fungsi tali pinggang keledar tetapi turut meningkatkan risiko kecederaan parah dan kematian dalam kemalangan.

“Penggunaan ‘dummy buckle’ membolehkan pemandu dan penumpang mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar yang merupakan komponen keselamatan utama dalam kenderaan.
“Pada kelajuan 64 kilometer sejam, ‘dummy buckle’ ini mudah tercabut, sekali gus menyebabkan impak lebih serius apabila berlaku perlanggaran,” katanya kepada Buletin TV3.
Sehubungan itu, MIROS menyarankan agar perbincangan antara Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mencapai keputusan muktamad untuk mengharamkan penjualan aksesori tersebut menerusi Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Apabila kita lihat penggunaan ‘dummy buckle’ ini berleluasa, kita amat bimbang sekali kerana ia akan memberikan kesan langsung kepada sistem keselamatan kenderaan terutamanya tali pinggang keledar dan beg udara.
“Ini kerana penggunaan ‘dummy buckle’ mendorong mereka untuk tidak menggunakan tali pinggang keledar,” tegasnya.
Ketika ini, ‘dummy buckle’ dijual secara terbuka termasuk di platform dalam talian pada harga murah dan tersedia dalam pelbagai variasi.
Dalam pada itu, tinjauan awam mendapati, rata-rata masyarakat turut menyuarakan nada sama terhadap pengharaman penjualan serta penggunaan alat penyahaktif penggera tali pinggang keledar.
Kakitangan swasta, Hairul Hafizi Mohd Jur, 31, berkata trend penggunaan aksesori itu wajar diberi perhatian dan menggesa tindakan tegas diambil.

“Sangat setuju kerana ia tak patut diguna oleh masyarakat kerana aspek keselematan pembuatan sesebuah kereta ini sudah berada di tahap yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pemandu e-hailing, Firman Abdul Razak, 39, percaya

langkah pengharaman aksesori tersebut sebagai keputusan tepat demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Sepatutnya kita ikut peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Alat ini memang patut diharamkan kerana ia membahayakan,” kongsinya.
Untuk rekod, Singapura dan Jepun telah mengenakan peraturan ketat terhadap penjualan aksesori kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Justeru, Malaysia wajar mengambil langkah serupa bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang sentiasa terjamin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.