Oleh Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Kecil tapi cukup untuk menggambarkan keindahan ibu kota Kuala Lumpur.
Pameran seni miniatur oleh Galeri Kuala Lumpur berjaya menjadi tarikan kepada warga kota dan pelancong khususnya yang ingin mengenali ibu negara dengan lebih mendalam.
Bertempat di Dataran Merdeka, ia nyata menjanjikan pengalaman berbeza buat pengunjung.
Wakil galeri ini, Felicia Beh Shin Mun, 25, berkata galeri itu mengetengahkan tentang sejarah bandar Kuala Lumpur, masa depan dan masa lalu.
“Kami juga mempamerkan model 3D supaya pengunjung boleh melihat KLCC, Menara Exchange 106 dan Menara 118 di sini,” tambahnya.
Setiap model miniatur yang dipamerkan juga mengikut skala nisbah 1:1500 daripada saiz asal setiap bangunan.
Menerusi tayangan video ‘The Spectacular City Model Show’, pengunjung juga bakal mendapat pengetahuan mendalam mengenai keseluruhan kotaraya Kuala Lumpur.
Galeri unik ini bukan sahaja kaya dengan sejarah bangunan ikonik di ibu negara bahkan jua tetap menyuntik elemen estetika moden dengan menampilkan sudut-sudut bergambar khas yang cantik.
Selesai menyelusuri kota raya, pengunjung juga boleh tenang sambil minum-minum dengan menikmati hidangan di kafe yang terletak di bahagian bawah galeri itu.
Bagi orang ramai yang berminat untuk berkunjung ke sini, kemasukannya adalah percuma dan ianya dibuka setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 6:30 petang.