comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Mini Dhaka’ kembali meriah, PATI sakan mengemis

 

KUALA LUMPUR: Lubuk warga asing yang digelar sebagai Mini Dhaka kelihatan kembali meriah meskipun baru sahaja diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

Suasana yang dikatakan sedikit lengang sebelum ini mungkin hanya bersifat sementara atau ‘tempoh bertenang’ sebelum kelompok itu kembali menguasai kawasan berkenaan.

Tinjauan Buletin TV3 pada hari ini mendapati kawasan di sekitar Jalan Silang seperti menenggelamkan wajah warga tempatan.

Hampir setiap sudut, pemandangan hanya menyaksikan pergerakan lalu lalang warga asing termasuk yang sakan berniaga di premis masing-masing sedangkan peniaga tempatan pula dilihat berniaga kecil-kecilan.

Lagak mereka pula tidak ubah seperti berada di kampung halaman sendiri kerana mungkin lubuk mereka berkumpul itu sudah dirasakan begitu selamat buat mereka.

Ini termasuklah kelibat sang pengemis yang umpama cendawan tumbuh meskipun lokasi itu baru sahaja digempur pihak berkuasa.

Namun sejurus lensa kamera mula merakam, kelompok itu mula menunjukkan perasaan kurang senang malah ada yang bertindak melarikan diri.

Bagi peniaga tempatan pula, mereka telah menganggap kawasan tersebut sebagai hab kepada warga asing berkumpul terutamanya pada hujung minggu.

Menurut Khairuddin Omar, walaupun banyak tangkapan dibuat setiap kali operasi, namun kelibat mereka pasti kembali muncul khususnya kumpulan pengemis.

“Setiap kali tangkap, dua tiga hari (tahan) kemudian lepas. Jadi mereka akan kembali teruskan (mengemis) dan isu tidak akan selesai… perlu ada cara bagaimana untuk atasi isu ini.

“Ada kalanya mereka (pengemis) meminta pada warga asing dan mereka berikan duit yang seolah-olah macam menggalakkan perbuatan terserbut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi peniaga, Amir Ahmad, mengakui kelompok itu juga sedikit sebanyak menyumbang kepada pendapatan peniaga setempat.

Bagaimanapun tindakan itu perlu katanya bagi membanteras isu lambakan warga asing khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap.

“Operasi memang patut dijalankan untuk banteras kumpulan yang tanpa dokumen jadi itu tiada masalah lah kerana urusan pihak berkuasa.

“Cuma peniaga pula di sini kalau ada operasi, dalam dua tiga hari memang agak kurang lah pendapatan tapi masih cukup-cukup makan,” ujarnya.

Kegusaran itu mungkin tidak membimbangkan sekiranya keberadaan kelompok itu sah di sisi undang-undang.

Baru-baru ini juga, lebih 1,000 warga asing ditahan bagaimanapun dalam masa yang agak singkat lokasi tumpuan PATI itu kembali menguasai kawasan.

Timbul juga persoalan adakah pelaksanaan operasi yang dijalankan baru-baru ini benar-benar membuahkan hasil atau wujud ketirisan di sebalik penguatkuasaan.

Apa yang dibimbangi adalah sikap warga asing yang terus bermaharajalela akhirnya membuka ruang sikap ‘besar kepala’ melibatkan golongan berkenaan.

Situasi itu juga tidak mustahil menjadikan penduduk tempatan sendiri yang mula merasa asing meskipun berada di bumi sendiri.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini