Oleh: Shuhadah Marzuki
PETALING JAYA: Minggu pertama Famili Duo 2023 (FD2023) berjaya meraih 3.8 juta penonton, sekali gus mengalahkan program realiti hiburan tempatan lain yang disiarkan pada waktu sama.
Lebih hangat, FD2023 yang disiarkan malam Ahad, menjadikan capaian penonton di platform Tonton meningkat kepada 800%.
Pengumuman pasangan duo keenam, Sharif Kadir Doli Sharif dan abangnya, Mohd Syaiful Doli Sharif telah mengejutkan orang ramai dan memberi impak besar kepada FD2023.
Mereka juga berjaya memperoleh gelaran juara mingguan untuk minggu pertama.
Pasangan adik-beradik yang juga pelawak itu turut mendapat komen positif daripada juri, susulan persembahan
yang terbaik, sesuai dengan rentak Famili Duo.
Juri tetap, Mas Idayu memuji pasangan tersebut yang berjaya menukar karakter dari sebuah program lawak ke program nyanyian realiti yang lebih serius.
Famili Duo bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.
Sebanyak 6 pasangan berentap untuk merebut hadiah utama wang tunai RM100,000.