comscore
Tumpuan :
Nasional

Minggu orientasi di universiti masih sesuai dilaksanakan – Zambry

Foto fail

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Minggu orientasi membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar masuk ke universiti awam (UA) masih sesuai dilaksanakan dan tiada keperluan untuk memansuhkannya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, minggu orientasi yang dilakukan adalah bertujuan memastikan mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.

“Mungkin ada masalah di sesuatu tempat, tapi janganlah kita melihat satu pandangan terus mengatakan bahawa seolah-olah orientasi ini sudah tidak sesuai, mungkin ada satu (atau) dua tempat (sahaja yang ada isu).

“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri (membabitkan) pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024, di sini hari ini.

Jelasnya, pendekatan baharu termasuk dari segi pengisian minggu orientasi yang lebih bersesuaian perlu dilaksanakan.

“Pengisiannya penting sebagai proses sosialisasi untuk pelajar mengenali di antara satu sama lain, kedua ialah untuk penyesuaian diri mereka dengan tempat (universiti) berkenaan dan ketiga dari segi membina tradisi penting,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau telah meminta pengurusan sebuah UA di Johor untuk meneliti dan membuat penambahbaikan supaya tidak mengulangi kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Ia susulan tular video memaparkan situasi minggu orientasi di UA tersebut apabila beberapa individu bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau ‘prank’ untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang daripada fasilitator.

Rentetan itu, ramai pihak berpandangan pengisian minggu orientasi terbabit seolah-olah berlebihan dan tidak seharusnya berlaku.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini