Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dari segi pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhannya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu sebagai strategi berkesan dalam mengesan dan menarik bakat terbaik menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pada tahun ini kita akan menyemak semula kedudukan (ALK) daripada segi pencapaian dan
keberkesanan matlamat penubuhannya.
“Faktor-faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin, kelestarian kos dan perbelanjaan, keanjalan dalam menetapkan bidang yang diperlukan, perlu diperhalus secara serius,” katanya.
Selain itu, MINDEF turut mempertimbangkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar-pelajar dalam bidang kritikal yang diperlukan ATM.
Tambahnya, kementerian itu juga mempertimbang pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan terpilih dalam kalangan anggota PALAPES yang berjaya diterima masuk ke dalam ATM.
Langkah berkenaan dilaksanakan untuk mencari dan menarik bakat terbaik sebagai fokus pertama daripada 10 fokus yang digariskan beliau dalam Perutusan Tahun 2025.
Tahun lalu, media melaporkan kejadian buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) yang cedera ditekap seterika disyaki dilakukan pelajar senior.
Hasil siasatan dijalankan, lima pegawai kadet ALK-UPNM terbabit dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.