KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafikan dakwaan yang tular di media sosial, mengaitkan pemberhentian Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan panglima tiga cabang perkhidmatannya disebabkan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.
MINDEF menegaskan, tiada sebarang kaitan di antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang ditularkan.
Katanya, satu laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan laporan polis sudah dibuat sebagai langkah memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan berita palsu.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.
“Adalah ditegaskan menyebarkan berita palsu adalah kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988,” katanya.
Kenyataan yang tular di media sosial itu mendakwa PAT, Panglima Tentera Darat (PTD), Panglima Tentera Udara (PTU), Panglima Tentera Laut (PTL) serta beberapa pegawai tinggi ATM berdepan proses pemberhentian disebabkan kontrak helikopter.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.