Oleh: Afrina Romzi
SHANGHAI: Minat syarikat China untuk melabur di Malaysia meningkat susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.
Katanya, libat urus bersama pelabur China pada hari ketiga lawatan beliau menekankan tentang dasar dan suasana peraturan pelaburan untuk memudahcara kerjasama dengan Malaysia.
“Hari ini saya dengan menteri-menteri menumpu soal pelaburan, perbincangan sama ada satu ataupun dengan sekumpulan membicarakan tentang dasar kita, suasana peraturan pelaburan dan apa masalah dibangkitkan.
“Jadi saya lihat ada kecenderungan dan minat China yang meningkat dan ini satu perkembangan yang sangat positif.
“Walaupun dia agak orang kata dalam bahasa melelahkan dari pagi tidak putus kita adakan pertemuan ini tetapi saya fikir bermanfaat,” katanya apabila ditemui media selepas sesi meja bulat dengan 24 kapten industri, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu 31 syarikat dan kapten industri republik itu.
Jadual beliau hari ini bermula dengan Sesi Dialog bersama pelabur China termasuk Chengwei Capital dan NRL Capital, anjuran Khazanah Nasional Bhd.
Selain itu, Datuk Seri Anwar bermesyuarat bersama beberapa syarikat China dari sektor perbankan, tenaga dan kimia.
Ini melibatkan Bank of China, SinoChem, SICC Co, SEMCORP dan Zhejiang Jiahua Energy Chemical Industry Co.
Ini sebelum sesi meja bulat dengan 24 kapten industri sebelum berlepas ke Beijing malam ini.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Jumlah perdagangan dengan China tahun lalu mencatat RM450.84 bilion, menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.