Oleh: Ain Shafiqah Zaki
LANGKAWI: Sifat ingin tahu terhadap seni graffiti semasa kecil telah mendorong Amirul Shah Mumfahir, 30, untuk melakukannya sebagai kegiatan masa lapang.
Ibarat langkah kanan, Amirul Shah yang juga seorang arkitek itu berjaya menjadikan hobinya sebagai salah satu cara meraih pendapatan sampingan.
Amirul Shah atau nama pentasnya Asmoe itu berkata, minatnya dalam muzik hiphop juga menjadikan dia cenderung ke arah seni graffiti berbanding bidang seni yang lain.
Tambahnya, kerjayanya sebagai arkitek juga mempunyai seni yang tersendiri justeru dia gemar menerjemahkan ia dalam karya graffitinya.
“Dalam bidang arkitek juga ada seni yang tersendiri, sebab itu ianya dipanggil seni bina.
“Sebagai seorang arkitek saya cuba kaitkan balik dengan seni graffiti.
“Saya juga penggemar muzik hiphop, dan kalau kita dapat lihat dalam video muzik genre ini kebanyakannya ada elemen graffiti jadi sebab itu saya lebih terarah ke bidang seni ini,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.
Hobinya yang sekadar suka-suka itu sekaligus membantu dirinya berkenalan dengan seniman graffiti dari serata dunia.
Katanya, dia antara yang bertanggungjawab menghimpunkan artis graffiti bagi program ‘Graff for Nation 2024’ yang bertempat di Langkawi itu.
“Bila kita dihimpunkan macam ini, ia seolah pertandingan sebagai contoh saya cat sebelah artis lain, saya rasa teruja untuk buat lebih cantik, semangat itu yang saya suka,” ujar anak kelahiran Melaka ini.
Asmoe merupakan antara 42 seniman graffiti yang berkolaborasi bagi pameran seni kontemporari dengan tema “Lukisan Letter”.
Antara seniman graffiti yang terlibat adalah dari negara Indonesia, Belgium, Turkiye dan India.
Ujar penganjurnya, program ini diadakan bagi menjadikan ia sebagai salah satu produk pelancongan untuk menarik lebih ramai orang hadir ke Langkawi.
“Kita cuba cetuskan satu potensi yang baru untuk menjadikan tapak Hospital Lama Kuah ini sebagai hab seni, satu pusat hentian untuk seni,” kata Muhammad Hazrin Abdul Malek, selaku penyelaras program.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof Madya Dr Jalaini Abu Hassan di Hospital Lama Kuah, Ahad lalu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad dan ketua-ketua agensi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta ketua-ketua agensi kerajaan negeri Kedah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.